Cara Kira Duti setem LHDN untuk Surat Perjanjian Sewa Rumah.
Sebelum menghantar kontrak sewa rumah ke pihak LHDN, anda boleh kira caj yang akan dikenakan dengan menggunakan kalkulator duti setem LHDN kami atau ikuti cara pengiraan di bawah.
Surat perjanjian sewa rumah adalah sebuah dokumen yang mengandungi segala terma dan syarat yang perlu tuan rumah dan penyewa persetujui sebelum tempoh sewaan bermula.
Dokumen ini memainkan peranan yang sangat penting untuk melindungi hak tuan rumah dan penyewa sepanjang tempoh sewaan berlangsung.
Sebagai contoh,dengan menyatakan secara jelasnya tanggungjawab penyewa dalam memperbaiki kerosakan harta benda rumah yang berlaku di dalam tempoh penyewaan tersebut, maka tuan rumah terselamat daripada memegang tanggungjawab tersebut.
Untuk mengesahkan dokumen perjanjian ini, kedua-dua pihak – tuan rumah dan penyewa – perlu menandatanganinya.
Setelah itu, dokumen ini perlu dicop atau stamping di LHDN untuk menjadikannya sah digunakan di mahkamah.
Duti setem, iaitu sebahagian daripada sistem pencukaian dikenakan pada dokumen yang melibatkan perundangan dan perlu dibayar sebelum tempoh penyewaan bermula.
Kebiasaannya, terdapat dua salinan perjanjian, satu untuk tuan rumah dan lagi satu untuk penyewa.
Kedua-dua salinan ini perlu dicop oleh LHDN sebelum proses kemasukan penyewa baru ke rumah sewa anda. Pembayaran duti setem surat perjanjian boleh dibuat di mana-mana kaunter LHDN.
Pembayaran duti setem mempunyai formulanya tersendiri untuk mengira jumlah akhir duti setem yang perlu anda bayar. Sekiranya formula di bawah terlampau memeningkan untuk anda, guna kalkulator duti setem LHDN yang kami sediakan di atas halaman ini.
Formulanya adalah: (((Y x 12) – 2400/250) x Z
iaitu:
Y = Kadar Sewa Bulanan
Z = Kadar Harga Bergantung Pada Tempoh Sewaan
Kadar Harga Bergantung Pada Tempoh Sewaan (Z) adalah seperti berikut:
Tempoh Sewaan | Kadar Harga |
1 Tahun atau Kurang | RM1 |
> 1 Tahun hingga 3 Tahun | RM2 |
> 3 Tahun dan ke atas | RM4 |
Langkah 1:
Tentukan jumlah keseluruhan sewa tahunan anda. Contohnya, anda ingin menyewakan unit anda dengan harga RM1,600 sebulan. Sewaan tahunan anda ialah RM19,200 (RM1,600 sebulan x 12 bulan).
Langkah 2:
Kira sewaan yang dikenakan cukai. Oleh kerana RM2,400 pertama dikecualikan daripada duti setem, jumlah sewa yang dikenakan cukai adalah RM16,800 (RM19,200 – RM2,400).
Langkah 3:
Duti setem akan dikenakan mengikut tempoh sewaan (rujuk jadual di atas). Kita akan memberikan contoh untuk setiap tempoh sewaan, dengan mengganggap kadar sewaan adalah sama iaitu RM1,600 sebulan:
1 tahun atau kurang
(((RM1600 x 12) – 2400/250) x RM1 = RM67.20
* Salinan tambahan Perjanjian Penyewaan dicaj sebanyak RM10. Bermakna: RM67.20 + RM10 = RM68.20 (jumlah ini adalah untuk 2 salinan Perjanjian Penyewaan, satu untuk tuan rumah dan satu lagi untuk penyewa, yang kedua-duanya perlu dicop oleh LHDN untuk menjadikannya sah digunakan di mahkamah.)
> 1 tahun hingga 3 tahun
(((RM1600 x 12) – 2400/250) x RM2 = RM134.40
* Salinan tambahan Perjanjian Penyewaan: RM134.40+ RM10 = RM144.40
> 3 tahun dan seterusnya
(((RM1600 x 12) – 2400/250) x RM4 = RM268.80
* Salinan tambahan Perjanjian Penyewaan: RM268.80 + RM10 = RM278.80
Satu perkara yang sangat penting untuk anda tahu mengenai cara pengiraan bayaran duti setem adalah: Sekiranya jumlah yang anda perolehi setelah anda menolak pengecualian sebanyak RM2,400 dari sewaan setahun BUKAN gandaan sebanyak 250, anda perlu membulatkan angka tersebut hingga yang terdekat (dan tertinggi) 250.